Tak cukup di muka, di punggung pun ‘dia’ muncul juga? Walaupun tak ada siapa nampak, kamu perlu tahu cara selesaikan masalah ini!

Jerawat punggung atau lebih mesra dengan panggilan ‘buttne’ ini ternyata satu masalah kecantikan yang jarang dibicarakan. Ada yang malu, tetapi kamu harus tahu, sesungguhnya jerawat punggung ini adalah sesuatu yang normal. Sesiapa sahaja boleh terkena. Yang penting kamu harus tahu punca sebenar munculnya jerawat di punggung ini.

jerawat punggung

Gambar: Brit + Co

Jerawat punggung tidak sama dengan jerawat di wajah. Ia terjadi kerana folikel bulu roma kamu tersumbat dan kemudiannya dijangkiti bakteria. Dan folikel yang tersumbat adalah disebabkan oleh amalan gaya hidup harian kamu sendiri. Folikel yang tersumbat ini dipanggil folikel meradang atau nama lainnya folikulitis.

Pakai seluar yang terlalu ketat

Jika kamu hendak tahu, seluar jenis skinny ataupun leggings yang terlalu ketat mampu menyebabkan kulit kamu bergesel lalu menyebabkan peluh dipunggung kamu terperangkap. Peluh yang terperangkap tadi kemudiannya bergabung dengan minyak yang terkandung pada permukaan kulit punggung dan berpotensi untuk menghalang folikel rambut daripada bernafas dengan baik. Bukan tidak boleh pakai seluar ketat, akan tetapi kamu harus tahu bagaimana untuk membersihkan diri setiap kali selepas kamu menyarungnya seharian terutama sekali selepas aktiviti bersenam.

Pakai seluar dalam yang sama terlalu lama

Bayangkan jika kamu pakai seluar dalam tidak bertukar dari awal pagi hingga lewat malam, atau keesokan harinya. Jangan nak acah-acah geli ya. Kami tahu ada yang berperangai sebegini. Tolong buang jauh amalan tidak elok ini! Seeloknya tukar dua kali sehari (normal), bahagian intim dan punggung adalah bahagian yang amat sensitif. Berilah ruang untuk ‘mereka’ bernafas segar. Bayangkan peluh, kotoran, dan minyak bergabung, aduhai.

Duduk terlalu lama

Kita digalakkan untuk bangun berdiri sekali-sekala, lakukan senaman ringan, jika duduk terlalu lama. Bukan sekadar untuk kesihatan tubuh badan kamu, malahan juga untuk manfaat kulit punggung kamu. Ia berbalik kepada punca yang disebabkan oleh geseran tadi lalu menyebabkan folikulitis. Maka, kamu berpeluang untuk terkena jerawat punggung ini.

Bagaimana hendak elak daripada jerawat di punggung?

Kebersihan diri itu penting. Bersihkan badan, sarung pakaian baharu setiap hari. Jika kamu memiliki kulit yang mudah merengsa, gunakan exfoliator jenis lembut seperti asid salisilik atau asid laktik untuk membersih permukaan punggung atau pencuci yang memiliki benzoyl peroxide di dalamnya. Ia membantu memberi hasil permukaan halus dan mulus dan memiliki manfaat antimikrobial. Manakala jika kamu jenis kulit yang cepat berpeluh, pastikan kamu rajin-rajin mencuci diri. Jangan tidur terus tanpa mandi terlebh dahulu, atau sarung pakaian sama berulang-kali tanpa menucinya.

Ingat, jerawat punggung ini normal, dan tiada apa yang hendak dimalukan. Tetapi janganlah kamu menjemputnya pula ya. Amalkan kebersihan diri paling optima bukannya sahaja di wajah, malah seluruh tubuh badan kamu ya.