Baik mekap mahupun produk penjagaan wajah, kesemuanya sama penting kala bercuti!

Memandangkan pintu sempadan negara masih belum dibuka, dan sememangnya tidak akan dibuka dalam masa terdekat ini, ramai rakyat Malaysia yang melepaskan gian dengan memilih untuk bercuti di dalam negara sahaja. Well, apa kurangnya negara kita? Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Bukit Tinggi, negeri bersejarah seperti Melaka, memang seronok kalau sudah berkumpul dengan keluarga mahupun teman-teman. Namun, jika tanya saya, percutian tidak akan lengkap tanpa membawa produk kecantikan bersama saya. Akan tetapi, mungkin kamu di luar sana runsing, produk kecantikan apa yang penting untuk dibawa kala bercuti ini. Marilah saya kongsikan bersama kamu tentang 5 produk kecantikan penting yang kamu harus bawa. 

Pencuci Muka 

Produk Kecantikan

Sumber: Pinterest

Saya tahu kamu tidak akan lupa untuk membawa pencuci muka setiap kali keluar bercuti. Yalah, berlengas seharian berjalan, kulit wajah diselaputi kotoran dan habuk daripada pencemaran sekeliling ditambah pula dengan lapisan produk kecantikan di wajah, haruslah kamu membersihkannya apabila sampai di bilik hotel, bukan? Akan tetapi ada juga antara kamu yang di luar sana (baik lelaki mahupun perempuan) yang masih tidak kisah untuk menggunakan sabun badan sebagai pencuci muka kamu. Tahukah kamu, sabun badan boleh menganggu kadar pH kulit wajah kita langsung menjadikan kulit kering dan rosak. Tak pasal-pasal… Maka, saranan saya, bawa sahaja pencuci muka bersaiz mini jika kamu rasa renyah untuk bawa sebotol besar. Pilih pencuci muka yang lengkap dengan segala manfaat dalam satu produk. 

Krim BB atau CC 

bb cream

Sumber: Pinterest

Jika kamu seorang yang sememangnya tidak boleh lari daripada bersolek tebal dan mahukan sesuatu yang masih menutup segala cela di wajah, pilihlah krim BB atau CC yang berwarna. Apatah lagi jika kamu bercuti di pantai, tidak mungkin kamu mahu menepek bedak asas yang tebal bukan? Krim BB (blemish atau beauty balm) juga krim CC (color correcting) ini sesuai buat kamu yang mahukan sedikit litupan di wajah namun tidak meninggalkan kesan berminyak dan masih membekalkan lembapan yang cukup sepanjang percutian kamu.  

Gincu Bibir  

Produk Kecantikan

Sumber: Pinterest

Jika tanya saya, saya ini selalu ke mana-mana mesti ada satu pouch asing khas untuk gincu bibir sahaja dalam beg harian saya. Mengalahkan beg mekap jurusolek haha. Untuk mengelakkan situasi seperti saya yang hanya akan memberatkan bagasi percutian kamu, pilih satu atau dua gincu bibir penting sahaja. Tip saya kala bercuti, pilih gincu yang sesuai digayakan baik solekan siang mahupun malam. Tekstur gincu juga amat penting untuk memastikan keselesaan kamu. Apatah lagi sekarang ini, ke mana-mana sahaja wajib menyarung pelitup muka. Elakkan menggayakan gincu bibir mampu merosakkan pelitup muka kamu itu. Lebih senang, sarung gincu jenis tint ataupun yang berkemasan pusam. Lagi elok, pilih gincu yang versatil. Boleh sarung di seluruh wajah. 

Sunblock / Sunscreen

Sumber: Pinterest

Baik percutian pantai atau percutian bandar, pemakaian sunblock tetap penting. Bukan setakat risau kulit menjadi gelap atau tidak, tapi sebab sunblock ini lah yang membantu kulit wajah kamu daripada terkena sinaran UV yang amat berbahaya. Bayangkan jika kamu terdedah teruk kepada sinar matahari dan tidak pula mengoles sunblock, kulit kamu akan terbakar teruk, mengelupas kemudian menjadi kering. Antara punca kanser kulit adalah akibat daripada sinar UV yang sangat berbahaya ini. Fikir-fikirkanlah ya… 

Syampu Kering 

syampu kering

Sumber: Pinterest

Mungkin di kala bercuti masa untuk menyiapkan diri agak terhad. Ada yang apabila mereka ingin membasuh rambut, mereka tahu ia akan mengambil masa yang lebih lama daripada biasa. Ada diantara kita juga yang sememangnya perlu membasuh rambut setiap hari. Jadi untuk mengelakkan pembaziran masa, bawa sahaja syampu kering bersama kamu. Apabila rambut mula kelihatan berminyak, semburkan sedikit pada akar rambut kamu. Percayalah, ia akan mengembalikan kesegaran rambut kamu. Namun, jangan amalkan setiap hari. Rambut kamu tetap perlu dicuci selang dua hari.

Oleh TheSaturdayChic