Mesti kamu selalu dengar tentang beauty sleep kan? Sudah tiba masanya untuk kamu fokus pada nasihat turun-temurun ini. 

Beauty sleep atau erti kata lainnya bermaksud tidur yang cukup kerana ia memberi impak pada kesihatan keseluruhan tubuh badan. Mungkin kamu pernah dengar nasihat seperti, “dapatkan rehat yang secukupnya”, “tidur awal..”, “jangan berjaga tengah malam”, dan bermacam lagi, bukan? Ini kerana memang banyak manfaatnya kalau kita mendapat tidur yang cukup. Selain penting untuk kesihatan ia juga mampu menjaga kecantikan kulit wajah kamu. Ini yang ingin kami kongsikan tentang beauty sleep!

Sumber: Instagram/ @alessacaiser

Mata akan kelihatan segar-bugar

Ini biasa, jika kamu mendapat tidur yang cukup, pasti peluang untuk ada lingkaran gelap atau bengkak bawah mata berkurangan. Percayalah, kamu tidak mahukan lingkaran gelap bawah mata ini. Tip kami, lapiskan bantal ekstra di bawah kepala kamu tatkala tidur kerana ia boleh mengurangkan kesan mata bengkak dan sembap di pagi hari.

Kurang kedutan di wajah

Penting untuk kamu tahu, kulit kita sebenarnya menghasilkan kolagen baru ketika tidur. Menurut seorang pakar dermatologi di New York, Patricia Wexler, kepada webMD, kolagen ini membantu menghalang kulit daripada menjadi kendur. Senang cerita, lebih banyak kolagen dihasilkan, lebih tegang dan sihat kulit wajah. Maka, kuranglah penghasilan kedutan di wajah. Kata Wexler lagi, lagi kurang kamu tidur, lebih kering kulit dan lebih banyak kedutan ketara boleh terlihat.

Rambut menjadi lebih sihat

Sumber: Instagram/ @shop.andreearaicu

Salah satu punca mengapa rambut menjadi rosak, rapuh dan sebagainya adalah disebabkan oleh kurang tidur. Kalau kamu hendak tahu, folikel rambut mendapat nutrien, vitamin dan mineral adalah menerusi peredaran darah yang aktif dalam tubuh. Dan proses peredaran darah yang betul-betul lancar dan kencang adalah sewaktu kita sedang tidur. Bayangkan, apa impak tidur yang cukup pada rambut kamu. Kepada siapa yang mengalami masalah rambut sebelum ini, cuba tip kami ini.

Apa-apapun, tidurlah dengan cukup, sebaik-baiknya 7 hingga 9 jam. Pastikan tidur kamu itu yang paling nyenyak! Ingat, tidur yang kurang daripada 6 jam pasti akan memberi kesan pada diri kamu baik luaran mahupun dalaman. Melainkan kamu seorang ibu yang mempunyai anak kecil, bertabahlah ya!

Dan jika kamu tidak berjaya untuk mengajar diri tidur awal, apa kata, mulakan rutin ini secara perlahan-lahan. Bermula dengan lanjutkan 1 jam lagi waktu tidur kamu dan kemudian perlahan-lahan tingkatkan durasi waktu tidur kamu secara berperingkat. Sehinggalah kamu mendapat 9 jam waktu tidur! Kamu pasti boleh!

Main header image: Woman photo created by senivpetro

Oleh TheSaturdayChic