Kami kongsikan beberapa tip penjagaan rambut buat kamu yang berhijab. Jom semak!

Sewaktu mula berhijab, saya sememangnya mengalami masalah kulit kepala yang sangat teruk hingga perlu menelefon teman-teman yang lain, mengadu dan bertanya apakah solusi serta tip penjagaan rambut. Kata mereka, ini perkara biasa, awal-awal memang begitu. Betul, kata mereka. Pada mulanya, rambut dan kulit kepala kamu tidak biasa dengan perubahan mengejut itu. Jadi, situasi seperti ini memang mengambil masa. Namun, saya ada solusi efektif untuk mengurangkan rasa tidak selesa pada kulit kepala kamu itu. Di sini saya kongsikan beberapa tip penjagaan rambut buat kamu yang berhijab seperti saya, jom semak!

Sumber: Instagram @kishama

Keringkan rambut sepenuhnya sebelum menyarung hijab 

Ini paling penting, saya tahu ada di antara kamu yang di luar sana, jika terbangun lambat, dan masih mahu mencuci rambut, lantas tidak mengeringkan sepenuhnya, tahu-tahu terus menyarung hijab dan keluar. Jangan biasakan ya! Perkara ini bukan sahaja boleh meninggalkan bau tidak enak pada rambut kamu, malah ia akan membuatkan akar rambut kamu rosak. Lebih-lebih lagi  untuk kamu yang berambut panjang, kena ikat pula rambut yang tengah basah tu. Sudahlah perlu ikat kemudian dibiarkan ia lembap sepanjang hari di dalam hijab kamu. Selesakah? 

Tidur beralaskan sarung bantal sutera 

Bukan hendak berlagak mewah, tetapi sebenarnya ada kebaikan tidur beralaskan sarung bantal sutera ini. Material ini lebih selamat untuk rambut kamu. Kain sutera membantu mengawal sebum pada rambut kamu. Manakala sarung bantal biasa seperti jenis kapas pula sebenarnya menggalakkan lagi penghasilan sebum lalu ia akan berkumpul sepanjang malam membuatkan kulit kepala menghasilkan minyak dengan lebih banyak. Sekarang adalah alasan nak tidur dengan fancy berbantalkan sarung sutera!

Sumber: Instagram @chinutay

Basuh anak tudung sekerap mungkin

Elakkan menyarung anak tudung yang sama berulang kali (tanpa basuh). Kamu mungkin tidak sedar, akibat peluh seharian, mulalah kotoran, minyak serta kelemumur berkumpul di anak tudung kamu. Jika kamu sarungkan berkali-kali tanpa basuh, kotoran tadi akan hinggap pada rambut kamu. Ingat, betapa pentingnya untuk memastikan rambut kamu bersih dan segar, barulah kesihatan rambut itu lebih terjamin. Dan segalanya bermula daripada anak tudung kamu… 

Cuci rambut dengan betul 

Elakkan daripada mencuci rambut menggunakan air panas. Ia akan membuatkan rambut kamu lebih cepat rosak. Ini kerana air yang panas boleh membuatkan rambut menjadi kering dan rapuh. Tahukah kamu, jika mandi dengan air sejuk, ia akan menutup liang pori kamu sementara dan meleperkan folikel rambut kamu. Jadi, sewaktu liang pori tertutup, ia membantu menggengam ketat setiap folikel rambut kamu langsung mengurangkan rambut gugur! 

Cubalah tip ini dan kongsikan bersama kami hasilnya!  

Sumber gambar header and featured image: Instagram @leenalghouti

Oleh TheSaturdayChic