Ketahui bahan kimia yang berbahaya dalam produk kosmetik anda dan apakah produk yang selamat digunakan.

Dalam usaha industri perniagaan tempatan menempa nama di dunia kecantikan, ada yang mengambil jalan ringkas dengan menggunakan bahan terlarang untuk kesan yang cepat dan efektif. Meskipun produk-produk yang terlibat tidak dibenarkan dijual dan diedar ke pasaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masih ada yang degil dengan tetap mempamerkan produk-produk tersebut di kedai-kedai mereka.  Berikut adalah bahan-bahan yang tidak selamat untuk digunakan dalam rutin kecantikan harian:

Merkuri

Antara bahan yang kerap kali dijumpai didalam produk kecantikan bermula dari pencuci muka hingga ke krim wajah. Bahan ini sangat terkenal dengan fungsinya yang mampu menyekat pembentukan melanin pada kulit supaya tampil lebih cerah dalam masa beberapa hari sahaja. Elemen ini ternyata bukan hanya mampu memberi kesan buruk kepada kulit dan sistem saraf, malah juga organ dalaman si pemakai terutamanya buah pinggang. 

Produk kosmetik yang selamat digunakan
Image: Spa photo created by freepik – www.freepik.com

Hydroquinone

Bahan ini berfungsi untuk memutihkan kulit serta menghilangkan hiperpigmentasi seperti parut jerawat dan jeragat. Keselamatan penggunaannya sangat kontroversial di Amerika Syarikat manakala penggunaannya untuk tujuan kosmetik di Malaysia adalah terkawal dan boleh digunakan dibawah pengawasan profesional kesihatan sahaja. Bahan kimianya yang sangat kuat akan menyebabkan kulit semakin nipis dan sensitif. Bahan ini selalunya hanya di preskripsi oleh pakar kulit atau ahli dermatologi, jadi ia boleh menjadi antara produk kosmetik yang selamat digunakan jika dari sumber yang betul. 

Tretinoin

Merupakan sejenis vitamin A yang terkawal, kerap digunakan untuk mengurangkan kedutan, mengatasi masalah jerawat, dan juga membantu kulit untuk nampak lebih ‘glowing’. Walaubagaimanapun, bahan ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa didarftarkan dan mendapat kebenaran untuk digunakan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Ingredien ini mampu memberi beberapa kesan sampingan yang buruk kepada pengguna seperti kulit terlalu sensitif kepada matahari, kemerahan, menggelupas dan pedih.

Ternyata bahan-bahan ini sememangnya mendatangkan kesan buruk kepada diri para pengguna meskipun dapat memberikan kesan yang cepat. Oleh itu, kita hendaklah memastikan bahawa produk itu memperoleh kelulusan daripada KKM.

Kini KKM telah menubuhkan satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memastikan produk-produk di pasaran Malaysia memenuhi piawaian yang ditetapkan supaya ianya selamat untuk digunakan iaitu National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA). Selain itu, pengguna juga berupaya untuk menyemak status kelulusan suatu produk dengan bantuan teknologi terkini iaitu sistem semakan di laman sesawang rasmi NPRA. Hanya Perlu masukkan nombor pendaftaran dan siap! Anda akan terkejut dengan senarai produk kosmetik yang tidak selamat rupanya terdiri daripada jenama yang terkenal dan digunakan oleh orang ramai, dan kebanyakannya produk lokal pula tu! Jadilah ekstra careful dan sentiasa pilih produk kosmetik yang selamat digunakan!

Header and featured image: Woman photo created by cookie_studio – www.freepik.com

Oleh Lisa Norosmi