Masalah kecantikan yang nampak seakan remeh tapi sebenarnya bila terkena macam satu masalah dunia! Chill… Semua orang alaminya dan ia boleh diatasi!

Mungkin kamu selesa dengan apa jua situasi kulit kamu. Namun, bila kadang-kala kulit meragam lebih atau ‘buat hal’ secara tiba-tiba, pasti terdetik di hati perasaan gundah serta tidak keruan itu. Bukan hendak menghasut, tetapi pada saya ini realiti. Walau apapun, kamu tidak perlu menjadi terlalu emosi hingga perlu merendah diri atau risau sehingga memakan diri, kerana ini perkara biasa. Masalah kecantikan boleh terjadi pada bila-bila masa baik di wajah, tubuh dan rambut. Yang penting, kamu harus sentiasa berfikiran positif. Mari saya senaraikan antara masalah kecantikan yang sering dialami oleh wanita di luar sana. Bukan itu sahaja, saya akan kongsikan sekali solusinya. Jadi, usah risau!

1- Bibir kering dan merekah

Gambar: Pinterest

Bibir yang kering sehingga menyebabkan kulit terkopek dan merekah ini sesungguhnya meninggalkan kesan kepada penampilan. Bila bibir tidak sihat, oleslah gincu bibir setebal manapun, pasti tampak seperti tidak kena. Bibir yang kering bukan sahaja berpunca daripada masalah kurang minum air, tetapi, ia boleh disebabkan oleh kesan terik matahari, merokok, pemakanan yang tidak sihat serta jilatan bibir secara berlebihan. Solusi saya, amalkan pemakaian salap bibir yang ada SPF. Selain itu kamu juga boleh mencuba minyak bibir kelapa untuk memastikan bibir kekal lembap dan sihat. Seeloknya sental bibir dengan skrub yang sesuai tiga kali seminggu untuk nyahkan kulit kering. Barulah bibir nampak bersih dan sihat.

2- Kuku kuning, rapuh dan tidak sihat

Gambar: OPI, Houghton Spring 2015

Mungkin kerana terlalu fokus pada penjagaan wajah, kamu lupa bahagian tubuh yang lain. Selain rambut, kuku juga antara yang perlu diberi perhatian. Jangan ingat cara menutup kuku buruk itu lebih senang dengan hanya mengoles pewarna kuku. Salah! Jika kamu hendak tahu, punca kuku jadi rosak adalah kerana pewarna kuku itu sendiri. Apa yang kamu boleh buat ialah sebaiknya kamu rawat dengan cepat. Caranya mudah, sapukan minyak kutikel selalu. Ianya baik untuk kesihatan kuku dan kulit sekitarnya. Untuk rawat kuku kuning dan kusam, kamu boleh cuba rawatan tradisional dengan jus lemon. Lemon ini bertindak sebagai agen peluntur natural untuk kuku kamu itu. Jika kamu hendak melayang pewarna kuku, pastikan kamu sapu base coat terlebih dahulu. Ini penting jika mahu jaga kuku kamu!

3- Kamu terpicit jerawat di wajah

masalah kecantikan

Gambar: Pinterest

Ini biasa terjadi kepada kamu yang geram melihat jerawat di wajah. Tangan terasa gatal tidak sabar menunggu jerawat itu kecut sendiri lantas kamu ambil keputusan untuk picit sahaja. Lepas tu menyesal kerana akibat dari tindakan tergesa-gesa kamu itu. Apa hendak buat dengan kulit yang sedang meradang dan kemerah-merahan itu? Tip saya, ambil beberapa kiub ais kemudian dibalutkan dengan tuala kecil dan tuamkan di kawasan kemerahan itu selama lima hingga 10 minit. Kemudian sapukan krim jerawat ataupun gel aloe vera untuk meredakan bahagian kulit itu. Ingat, jangan picit. Nanti sia-sia sahaja kulit kamu berbekas dan punya parut jerawat yang tidak dijemput itu.

4- Kulit kepala dan rambut berminyak

masalah kecantikan

Gambar: Pinterest

Ini antara masalah kecantikan biasa dialami wanita di luar sana. Dan rambut berminyak inilah antara punca kulit wajah juga turut terkesan seperti munculnya jerawat akibat daripada kotoran rambut kamu itu. Segalanya bermula daripada kulit kepala. Rawat kulit kepala dengan memilih syampu dan perapi yang betul. Cuci rambut setiap dua hari sekali. Ini kerana cucian yang melampau lagi akan merosakkan kulit kepala. Cucian yang berlebihan ini akan menghakis minyak natural di kulit kepala lalu ia akan membuatkan kulit kepala ingin menghasilkan lebih banyak minyak lagi. Jadi pandai-pandai kamu mencatu kadar cucian kulit kepala untuk menyeimbangkan penghasilan minyak natural itu tadi.

Oleh TheSaturdayChic