Bosan dengan solekan harian kamu dan ternyata ingin mencuba sesuatu yang baru? Mulakan dengan solekan bibir.

Jika tanya saya, rona bibir antara yang memainkan peranan penting dalam memberi seri pada wajah namun, ada di antara kita yang hanya gemar menggayakan satu rona gincu dari dahulu hingga kini dan tidak yakin untuk mencuba rona yang lain.

Nasihat saya, cuba teroka dan bereksperimen. Mana tahu, layangan rona ceri hitam sebenarnya ‘kena’ pada bibir kamu lalu memikat mata-mata yang memandang. Buat yang berani sahut cabaran ini, kami kongsi inspirasi 5 rona bibir daripada pentas fesyen SS 21 yang menjadi pilihan kami bulan ini.  

Rona Bibir

Max Mara (Gambar: imaxtree)

Rona merah memang sesuai digayakan oleh apa jua tona kulit. Padukan gincu bibir merah kamu dengan gincu berkemasan glos untuk hasil yang lebih glamor dan menarik. Seperti di pentas Max Mara, kita dapat saksikan wajah model dibiar polos dengan sedikit olesan pembayang mata rona tanah, hanya bibir yang benar-benar menjadi tumpuan. Jika kamu malas bersolek, cedok sahaja inspirasi daripada pentas ini. 

Rodarte (Gambar: Getty Images)

Seperti di Rodarte, model menggayakan gincu bibir rona ceri hitam. Siapa kata rona ini tidak mampu memberi hasil solekan elegan pada wajah kamu? Jika takut rona itu terlalu menonjol, pilih daripada rangkaian yang berkemasan krim agar ia memberi efek yang lebih ‘lembut’ pada keseluruhan beauty look kamu. 

Rona Bibir

Valentino (Gambar: imaxtree)

Jika berani, cuba rona yang lebih gelap seperti hitam atau ungu. Sesuai digayakan jika kamu sedang lagi berlibur di malam hari bersama teman-teman. Jika kamu tahu menilai jenis tona kulit kamu dan kumpulan rona gincu gelap yang mana sesuai dengan kulit, pasti ia mampu membuatkan wajah kamu tampak lebih cerah dan berseri-seri. Tip saya lagi, fokuskan solekan bibir rona gelap kamu itu dengan solekan kening sahaja. Lebih on point. 

Rona Bibir

Versace (Gambar: imaxtree)

Fuchsia, rona terang dan ceria ini sememangnya amat digemari namun sebenarnya susah untuk didekati. Saya pasti setiap wanita ada gincu rona ini, namun jarang sekali kamu mengolesnya kerana tidak yakin dan takut jika ia terlalu menonjol di siang hari. Jika kamu buntu bagaimana hendak menggayakan warna ini, pastikan wajah kamu tidak di solek tebal. Solekan minimal selalu adalah terbaik jika kamu ingin mengenakan gincu bibir terang.  

Ferragamo (Gambar: imaxtree)

Akhir sekali, jika kamu tidak minat mengenakan gincu bibir berwarna, apa kata kamu layangkan sahaja glos jenis lutsinar. Walau saya tahu apatah lagi di saat ini, separuh wajah sudah dilindung dengan pelitup muka, layangan glos mungkin akan membuatkan kamu tidak selesa. Paling tidak pastikan bibir kamu sentiasa lembap. Kita tidak mahu bibir kering dan kemudiannya mengelupas. Oh, mimpi ngeri! Jadikan salap bibir sebagai teman baik kamu. Dan jika kamu mahu tampil sedikit ekstra, layang minyak bibir. Sambil-sambil merawat bibir, sambil itu bergaya.

Oleh TheSaturdayChic